CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, July 16, 2010

PERTANDINGAN BLOGGING 2010- ENTRI 4


Perkahwinan Tradisional Melayu








Perkahwinan tradisional Melayu ini boleh dibahagikan kepada beberapa proses contohnya,



MERISIK ATAU MENINJAU

Permulaan proses perkahwinan ialah merisik atau meninjau. Biasanya dilaksanakan oleh keluarga pihak lelaki, khususnya ibubapa. Setelah teruna dan keluarganya berkenan dengan gadis yang dipilih , usaha merisik dijalankan untuk mengetahui samada gadis itu sudah berpunya atau tidak. Hasil daripada merisik ini akan dibuat rundingan dengan keluarga si teruna. Apabila diketahui sigadis belum berpunya upacara peminangan diaturkan.

UPACARA PEMINANGAN

Meminang sigadis hanya dilakukan bila keluarga sigadis menyatakan persetujuannya. Tugas meminang biasanya dilakukan oleh wakil kedua-dua belah pihak, biasanya ketua-ketua adat dan syarak. Semasa meminang akan ditetapkan tarikh menghantar tanda. Perkara-perkara yang dibincangkan semasa upacara peminangan ialah hantaran belanja, persalinan dan tempoh bertunang. Disesetengah-sesetengah tempat berita pertunangan itu diberitahu kepada seisi kampong oleh Ketua Kampong di masjid ketika mengadakan sembahyang Jumaat.

UPACARA MENGHANTAR TANDA

Semasa upacara menghantar tanda, kebiasaannya sebentuk cincin akan dihantar oleh pihak teruna untuk disarungkan ke jari tunangannya. Menyampai dan menerima cincin itu dilakukan dalam majlis di rumah sigadis. Cincin ini disebut sebagai ‘cincin tanda’. Ia biasanya diiringi juga dengan sebahagian wang hantaran belanja. Tarikh perkahwinan juga dibincangkan bersama.

HANTARAN BELANJA

Pada tarikh yang dijanjikan upacara menghantar belanja dijalankan. Kedua-dua belah pihak diketuai oleh Ketua Kampong atau Ketua Syarak. Wang hantaran itu biasanya diiringi dengan persalinan untuk sigadis. Ia digubah dalam berbagai bentuk atau dibungkus dalam kain sahaja mengikut adat daerah masing-masing. Iringan yang lain termasuk bunga rampai; sirih junjung atau tepak sireh sahaja; pahar telor merah dan nasi semangat; alat solek; buah-buah atau lain-lain.

MENJEMPUT

Waris bakal pengantin ( ayah atau ibu, atau orang yang wajib dan diwakilkan) akan berkunjung ke rumah orang tua-tua di kampong itu untuk membritahu tentang hari perkahwinan itu. Mereka akan membawa tepak sireh dan terus menjemput dan meminta sanak saudara serta sahabat handai datang ke rumahnya bagi mengelolakan majlis itu. Majlis kenduri kahwin dimulakan di rumah pengantin perempuan.

UPACARA NIKAH

Upacara akad nikah dijalankan sebelum upacara berinai besar dan bersanding. Imam mewakili wali perempuan menjadi jurunikah. Dalam upacara ini juga disahkan hantaran dan lain-lain. Mas kahwin disebut samada hutang atau tunai. Mas kahwin akan diserahkan kepada pangantin perempuan dan menjadi haknya. Dari saat ini sahlah mereka menjadi suami isteri.

BERINAI BESAR

Kedua pengantin memakai pakaian pengantin. Pengantin lelaki datang ke rumah pengantin perempuan dengan iringan arakan rebana. Upacara berinai didahului oleh pengantin lelaki yang duduk di pelamin. Ahli keluarga akan bergilir-gilir menjalankan upacara itu. Pengantin perempuan akan mengambil tempat selepas pengantin lelaki.

HARI PERSANDINGAN

Dihari persandingan, jamuan diadakan secara besar-besaran di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki serta rombongannya akan diarak dan diiringi dengan selawat dan pukulan rebana dari rumahnya atau tempat persinggahannya ke rumah pengantin perempuan. Hantaran akan dibawa bersama sekiranya ia belum dihantar terlebih dahulu.

JEMPUT MENANTU

Majlis jemput menantu atau ‘menyambut menantu’ diadakan di rumah pengantin lelaki. Pengantin perempuan dijemput datang ke rumah pengantin lelaki biasanya dibuat pada hari ketiga, kelima atau seminggu selepas diadakan majlis persandingan


0 comments: